Dalam pembelian sesuatu rumah, selain daripada harga, rekabentuk,
lokasi dan bentuk fizikalnya, ada perkara yang lebih penting untuk anda
ketahui. Apakah perkara-perkara tersebut? Berikut saya sertakan 6
perkara yang penting untuk anda ketahui sebelum membeli rumah terpakai,
1. Pemilik berdaftar rumah
Penting untuk tahu sipakah pemilik berdaftar rumah tersebut? Orang
yang menjual itu tidak semestinya pemilik berdaftar rumah tersebut.
Kadangkala ada juga terdapat pemilik berdaftar sesebuah rumah tidak
mengetahui pun yang rumah beliau telah dijual oleh orang lain tanpa
kebenaran beliau. Oleh sebab itu, penting untuk anda pastikan siapakah
sebenarnya pemilik berdaftar rumah tersebut sebelum bersetuju untuk
membelinya.
2. Syarat-syarat nyata yang terdapat dalam geran
Syarat nyata ini merujuk kepada syarat yang telah ditetapkan oleh
Pihak Berkuasa Negeri terhadap sesuatu rumah yang didirikan di atas
tanah tersebut.
Misalnya di dalam hak milik (geran) rumah tersebut dinyatakan, “Tanah
ini hendaklah digunakan untuk satu unit rumah teres setingkat sahaja”.
Ini beerti rumah tersebut hanya boleh didiami sebagai satu rumah teres
setingkat sahaja.
Pemilik berdaftar tidak boleh sewenang-wenangnya mengubahsuai rumah
tersebut daripada rumah teres setingkat menjadi rumah teres 2 tingkat,
kerana ia bertentangan dengan syarat nyata rumah tersebut.
Jadi sebagai pembeli, penting untuk anda tahu jenis dan keadaan
fizikal rumah tersebut mestilah mengikut apa yang telah ditetapkan dalam
syarat nyata di dalam geran rumah tersebut.
Sekiranya anda lihat rumah tersebut 2 tingkat secara fizikalnya,
tetapi di dalam geran hanya mensyaratkan ia mestilah setingkat sahaja,
maka eloklah tidak perlu beli rumah tersebut, kerana dibimbangi ianya
mempunyai kesan perundangan di kemudian hari.
3. Sekatan kepentingan
Biasanya sekatan kepentingan ini di tulis, “Tanah ini tidak boleh
dipindahmilik, dipajak atau digadai melainkan setelah mendapat kebenaran
bertulis daripada Pihak Berkuasa Negeri”.
Untuk sesuatu rumah yang terdapat sekatan kepentingan di atasnya,
sebelum pindah milik boleh dibuat daripada nama pemilik berdaftar kepada
nama pembeli, pemilik berdaftar hendaklah mendapatkan kebenaran
bertulis (consent) terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Negeri.
4. Kategori Rezab Melayu
Anda kena tahu sama ada rumah tersebut termasuk dalam kategori Rezab
Melayu atau bukan Rezab Melayu. Sekiranya ia termasuk dalam kategori
Rezab Melayu, maka ianya ditulis di dalam geran sebagai “Dalam Kawasan
Rezab Melayu”.
Sekiranya ditulis begitu, hanya orang Melayu sahaja yang boleh
membeli rumah tersebut. Sekiranya tidak dinyatakan di dalam geran yang
rumah tersebut termasuk dalam kawsan Rezab Melayu, maka ia dianggap
sebagai Hakmilik Pegangan Bebas (Freehold) dan oleh itu semua bangsa
boleh membeli rumah tersebut.
5. Pinjaman dengan bank
Anda juga kena tahu sama ada pemilik berdaftar rumah tersebut masih
mempunyai pinjaman dengan bank atau tidak? Atau dalam erti kata lain
sama ada rumah tersebut masih digadai kepada bank atau tidak?
Jika rumah tersebut masih digadaikan kepada bank, untuk membolehkan
pindah milik dibuat daripada pemilik berdaftar kepada pembeli, maka
gadaian tersebut perlu dilepaskan terlebih dahulu, iaitu dengan cara
menebus hutang pinjaman tersebut terlebih dahulu.
6. Terdapat kaveat di atas hak miliknya
Penting untuk anda tahu sama ada rumah tersebut terdapat kaveat di
atas hak miliknya atau tidak. Kaveat adalah satu jenis sekatan yang
menghalang sesuatu urusniaga dilakukan terhadap hak milik rumah
tersebut.
Jika terdapat kaveat di atas hak milik (geran) rumah tersebut, maka
proses pindah milik rumah tersebut daripada nama pemilik berdaftar
kepada nama pembeli tidak akan dapat dibuat, melainkan kaveat tersebut
ditarik balik oleh orang yang memasukkan kaveat atau dibatalkan oleh
Pejabat Tanah.
Oleh yang demikian, penting untuk anda pastikan rumah yang anda ingin
beli tersebut bebas dariapada sebarang kaveat. Jika terdapat kaveat
anda kena pastikan siapakah yang memasukkan kaveat tersebut, dan pemilik
berdaftar hendaklah meminta orang yang memasukkan kaveat tersebut
menarik balik kaveat terlebih dahulu sebelum boleh rumah tersebut dijual
dan dipindah milik kepada pembeli.
Kebiasaanya penjual tidak akan bagi tahu sepenuhnya maklumat-maklumat
tersebut. Kalau pun diberitahu belum tentu maklumat-maklumat tersebut
adalah benar dan tepat. Ada juga kadang kala berlaku penjual atau
pemilik berdaftar sendiri pun tidak pernah mengetahui atau ambil tahu
tentang maklumat-maklumat berkaitan rumah tersebut.
Apa yang mereka tahu adalah, rumah mereka mempunyai 3 bilik tidur dan
2 bilik air. Selebihnya mereka akan jawab “Entahlah, saya pun tak
pasti.” Jadi, jika begitulah keadaannya, bagaimanakah anda ingin
mengetahui atau mendapatkan maklumat-maklumat tersebut dengan betul dan
tepat?
Cara untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang betul dan tepat adalah
dengan menggunakan hak anda sebagai pembeli untuk minta salinan hak
milik (geran) rumah tersebut, daripada penjual sebelum anda putuskan
untuk membeli rumah tersebut.
Bagaimana kalau penjual tidak mahu bagi? Atau penjual berdolak-dalih
untuk memberi salinan geran tersebut? Jika itu berlaku, sebaiknya
lupakan sahaja niat anda untuk membeli rumah tersebut. Geran rumah itu
kita boleh katakan sebagai surat beranak atau kad pengenalan bagi
sesebuah rumah.
Sama seperti manusia. Setiap manusia yang lahir di Malaysia, akan
mempunyai surat beranak dan kad pengenalan masing-masing. Dan surat
beranak serta kad pengenalan tersebut akan digunakan untuk mengetahui
segala makluamt berkenaan individu tersebut.
Sekiranya penjual berdolak-dalih untuk memberikan salinan geran rumah
kepada anda, mungkin ada sesuatu yang dia cuba sembunyikan tentang
status rumah tersebut.
Selepas anda terima salinan geran rumah tersebut daripada penjual,
rajin-rajinkan diri pergi ke pejabat tanah dalam daerah di mana hartanah
tersebut terletak untuk buat carian persendirian.
Semua maklumat yang anda perlu tahu seperti di atas, boleh ditemui
dan diperolehi dalam carian persendirian tersebut. Dan yang pastinya,
maklumat dalam carian persendirian tersebut tidak akan “membohongi”
anda. Sedangkan maklumat yang disampaikan oleh penjual tadi belum tentu
semuanya benar.